JEDDAH – Sebuah projek bagi membina bangunan tertinggi di dunia dijangka disambung semula selepas kerja pembinaannya terhenti enam tahun lalu, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Bangunan pencakar langit setinggi 1 kilometer di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah itu semakin hampir menjadi kenyataan menjelang akhir dekad ini.
Menara Jeddah itu telah lama dinanti-nantikan. Struktur tersebut bakal menggantikan Burj Khalifa setinggi 830 meter yang terletak di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sebagai bangunan tertinggi di dunia.
Projek menara Jeddah bermula lebih sedekad lalu tetapi terhenti pada tahun 2018 berikutan usaha untuk menghapuskan gejala rasuah dalam kerajaan Arab Saudi.
Tokoh-tokoh penting berkaitan projek itu telah ditangkap pada akhir tahun 2017, manakala pandemik Covid-19 turut menambahkan lagi kelewatan pembinaannya.
Firma Seni Bina Andrian Smith dan Gordon Gill yang membina bangunan pencakar langit itu memberitahu Architectural Digest: “Reka bentuk untuk Menara Jeddah berakar umbi pada simbolisme Arab Saudi sambil melihat ke arah masa depan dan memperlihatkannya dari sudut teknologi.”
– AGENSI