PATTAYA – Seorang anggota polis trafik dari Balai Polis Pattaya menjadi tajuk-tajuk berita utama di Thailand kerana pendekatan yang digunakan untuk mendisiplinkan seorang pelajar lelaki yang melakukan kesalahan lalu lintas, lapor laman berita Pattaya Mail semalam.
Pelajar itu dilaporkan melanggar peraturan jalan raya ketika dia menunggang motosikal, Khamis lalu.
Polis tersebut tidak mengeluarkan saman kepada pelajar berkenaan bagi pelanggaran peraturan yang dilakukan, sebaliknya mengarahkan dia melakukan tekan tubi sebanyak 20 kali.
Perbuatan itu mendapat perhatian orang ramai di laman laman Facebook yang memuat naik hantaran bertajuk ‘Inspektor trafik lakukan tekan tubi bersama pelajar.’
Ia menjelaskan bagaimana anggota polis itu memilih untuk menghukum pelajar tersebut dengan melakukan tekan tubi dan memberikan syarahan berhubung peraturan jalan raya, berbanding mengeluarkan saman kepadanya. – AGENSI