fbpx

OKU cemerlang SPM dapat perhatian Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada Raja Amirul (tengah) semasa Program Ziarah Madani di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG/KOSMO!

PASIR PUTEH – Pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang memperoleh keputusan 8A, 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Raja Amirul Mukmin Raja Safari,18, teruja apabila menerima salam dan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ucapan pemimpin negara itu disampaikan oleh Zainuddin Ghazali, wakil kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Datuk Fauzi semasa Program Ziarah Madani di rumah pelajar berkenaan.

Raja Amirul berkata, dia tidak menyangka kejayaannya mendapat perhatian pemimpin negara selepas berita kejayaannya disiarkan Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan cemerlang itu merupakan pemangkin buatnya untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), namun impian itu terpaksa dibatalkan kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan.

“Bapa hanya bekerja sebagai tukang cuci kereta pada siang hari dan pengawal keselamatan sebelah malam.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur apabila berpeluang memohon pengajian peringkat asasi Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak dalam jurusan Kejuruteraan Kimia selepas mendapat tawaran pembiayaan pengajian di universiti itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Manak, di sini hari ini.

Dalam program itu, Zainuddin menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada Raja Amirul dengan diiringi Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Saipul Bahari Ab. Manaf dan Pengetua Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang, Mohammad Daud.

Raja Amirul memberitahu, dia turut berharap akan mendapat bantuan daripada Tabung Amanah Zakat UTP (TAZU) selepas membuat permohonan baru-baru ini.

Sementara itu, Zainuddin berkata, Pejabat Perdana Menteri akan melihat keperluan dan perkembangan semasa bagi memberi laluan kepada pelajar OKU fizikal itu meneruskan pengajian dan mencapai cita-citanya sebagai pakar kimia. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI