KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw mempamerkan kehebatan dalam menghasilkan lagu apabila hanya memerlukan masa 15 minit menulis lirik lagu sponton di atas pentas pada konsert Melly Goeslaw & Friends (Malam Graduasi) di Axiata Arena Bukit Jalil semalam.
Didedikasikan khas buat rakyat Palestin, Melly, 50, memanggil dua orang peminat untuk naik ke atas pentas untuk bersama-sama menghasilkan lagu berdasarkan lirik spontan.
Malah, lagu tersebut turut ditujukan khas buat rakyat Palestin yang kini telah hilang tempat perlindungan selepas tentera Zionis melakukan serangan di Rafah.
“Kita boleh meraikan konsert dan boleh berhibur, tapi kena sentiasa ingat akan situasi yang berlaku di Palestin.
“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas,” katanya.
Dalam pada itu, Melly turut menyuarakan solidariti terhadap Palestin dengan mengatakan individu itu tidak perlu seagama Islam untuk mempamerkan sokongan kepada Palestin.
“Tidak mengira sama anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun, tidak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apa saja.
“Tapi yang utama adalah kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” ujarnya.
Lagu itu kemudian dinyanyikan di atas pentas dengan iringan muzik orkestra sehingga mengundang sebak termasuk ibu kepada dua cahaya mata itu yang menitiskan air mata ketika menyanyikannya.
Konsert yang berlangsung sekitar dua jam 30 minit itu menyaksikan untaian 29 buah lagu dipersembahkan di samping kemunculan istimewa bintang rap popular Joe Flizzow menyanyikan lagu Jika duet bersama Melly.
Antara lagu yang dipersembahkan pada malam itu ialah Tak Tahan Lagi, Ingin Mencintai Dan Dicintai, Gantung, Suara Hati Seorang Kekasih dan Let’s Dance Together.
Melly turut menyanyikan beberapa lagu yang dipopularkan oleh beberapa selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Biarlah Rahsia), Datuk Rossa (Ayat-Ayat Cinta), Menghitung Hari (Kris Dayanti), Pencinta Wanita (Irwansyah), Sampai Menutup Mata (Acha Septriasa) dan Jangan Pernah Berubah (Marcell).
Untuk info, seramai 9,000 penonton hadir dengan bertemakan pakaian seragam sekolah. Setiap seorang penonton turut diberikan mortar board pelbagai warna sebagai kenang-kenangan. – KOSMO! ONLINE