SINGAPURA – Usaha dan inisiatif berterusan secara konstruktif, komprehensif dan melengkapi (3C) merupakan pendekatan terbaik bagi menangani cabaran pertahanan di wilayah Asia-Pasifik sekali gus memastikan kestabilan dan keamanan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman kini lebih dinamik dengan penggunaan teknologi baharu yang disalahgunakan untuk mengganggu-gugat keselamatan pihak lain.
Katanya, menerusi pendekatan itu, dialog konstruktif perlu diadakan secara berkala di antara negara sama ada di dalam atau luar rantau ini.
“Langkah ini adalah penting untuk memperhalusi kepentingan bersama dan mencari penyelesaian yang terbaik untuk negara masing-masing.
“Dalam aspek ketelusan, hubungan yang konstruktif melahirkan kepercayaan dan keyakinan serta semua pihak boleh memanfaatkan kerjasama formal dan tidak formal,” katanya ketika berucap pada sesi Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24), di sini hari ini.
Mohamed Khaled tampil sebagai panel bersama Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen dan Presiden Ukraine, Volodymyr pada sesi pleno ketujuh bertajuk ‘Re-imagining Solutions for Global Peace and Regional Stability’.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, hubungan sedia dan baharu juga perlu diperkukuh dengan kerjasama yang komprehensif merentasi pelbagai domain.
“Disamping memperkukuh mekanisme sedia ada yang diterajui ASEAN, penelitian melangkaui domain semasa adalah penting untuk menambah nilai kepada aspek pertahanan.
“Sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan pandangan ortodoks dan meluaskan capaian kepada perkara yang lebih besar.
“Ini termasuk pendidikan, kepimpinan pertahanan, kesihatan dan kebajikan ketenteraan, ruang siber dan digital serta pengurusan risiko bencana,” jelasnya.
Bagaimanapun, kata Mohamed Khaled, kerjasama yang terjalin harus bersifat melengkapi meliputi pelbagai lapisan dan platform.
“Kerjasama mengatasi persaingan adalah kunci untuk kestabilan. Walaupun persaingan akan memberikan hasil yang menguntungkan, tetapi ia juga boleh berubah menjadi sesuatu yang merugikan.
“Justeru, pakatan yang berlaku di rantau Asia-Pasifik harus saling melengkapi dari segi kapasiti dan keupayaan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa ASEAN kekal dengan pendirian sebagai wilayah yang memegang prinsip berkecuali atau neutral.
Sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun depan, Mohamed Khaled berkata, Malaysia akan meneruskan untuk memelihara pemusatan wilayah berkenaan.
“Kami bersedia untuk menyediakan platform dan ruang untuk membina kesepakatan dan mencari penyelesaian berhubung isu dan rundingan yang menekan wilayah ASEAN.
“Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus, bersama dengan Kumpulan Kerja Pakar (EWG) akan meneruskan peranan dalam memastikan dialog yang membina untuk kerjasama pertahanan,” jelasnya.
Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Singapura sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12 dan SLD24.
Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala anataranya bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Menteri Pertahanan Singapura, Eng Hen dan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
Selain itu, beliau turut melakukan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Republik Maldvies, Mohamed Ghassan Maumoon dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin. – KOSMO! ONLINE