SINGAPURA – Malaysia menegaskan pendirian kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menguatkuasakan gencatan senjata secara segera dan kekal sekali gus menamatkan konflik antara Israel dan Palestin yang berlarutan lebih tujuh bulan.
Pendirian itu dizahirkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam pertemuan bersama Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, di sini semalam.
Pertemuan secara bersemuka itu diadakan sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24) yang berlangsung mulai 31 Mei sehingga esok.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia kekal dengan pendirian tersebut bagi memastikan hak serta keadilan dan keamanan di bumi Palestin.
“Kita tidak boleh biarkan penindasan di Gaza terus berlaku. Apa-apa gencatan yang boleh dilaksanakan dan diterjemahkan bagi menghentikan isu ini, kita sangat mengalu-alukan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Presiden AS, Joe Biden mengumumkan cadangan tiga fasa dikemukakan Israel bagi menamatkan perang di Gaza, termasuk gencatan senjata dan pembebasan tahanan dan tebusan dalam tawanan Hamas.
Justeru, beliau berharap, usaha tersebut tidak terhenti setakat gencatan, malah diteruskan meliputi bantuan kemanusian termasuk mencari penyelesaian yang kekal.
“Saya percaya Malaysia bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada Palestin sekiranya diperlukan,” tambahnya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, AS turut merakamkan ucapan tahniah di atas kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang bakal berlangsung tahun depan.
“AS memberi jaminan dalam bentuk kerjasama dan sokongan secara konstruktif sebagai negara pemerhati di bawah Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang mengetuai delegasi Malaysia dijadual tampil sebagai ahli panel sesi pleno ketujuh SLD24 yang bertajuk ‘Re-Imagining Solutions for Regional Stability’ hari ini.
Beliau akan memberi gambaran bentuk kerjasama baharu dalam menangani cabaran pertahanan bagi memastikan kestabilan serta keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
Sesi berkenaan turut disertai Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled dijangka mengambil kesempatan untuk menegaskan pendirian Malaysia mengenai keamanan khususnya berkaitan konflik Ukraine-Russia dan Palestin.
Untuk rekod, SLD24 melibatkan 45 negara dengan 49 perwakilan peringkat menteri dan lebih 40 pegawai kanan pertahanan termasuk ketua angkatan pertahanan. – KOSMO! ONLINE.