PUTRAJAYA- Lebih 23,000 pelajar di semua institusi bawah Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penebusan baucar buku sejak mula dibuka kelmarin.
KPM dalam kenyataan berkata, inisiatif itu mendapat sambutan menggalakkan melalui kaedah penebusan di aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital.
Menurutnya, tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid atau pelajar adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember depan.
“Justeru, mereka dinasihati untuk tidak bimbang kerana mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menebus baucar buku masing-masing.
“Langkah ini supaya ia dapat digunakan bagi mendapatkan bahan bacaan yang terbaik,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPM berharap inisiatif baucar buku ini memberi manfaat kepada semua murid dan pelajar selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan. – KOSMO! ONLINE.