PETALING JAYA – “Wanita dapat kanser paru-paru hadiah ulang tahun perkahwinan 25 tahun hidu asap rokok suami,” kongsi Public Health Malaysia di Facebook hari ini.
Menurut PHM, semakin ramai wanita yang bukan perokok dikesan menghidap kanser paru paru berpunca daripada menghidu asap rokok pasangan selama bertahun-tahun.
“Selepas di tanya, rupa rupanya ada sejarah berpuluh tahun hidup dengan perokok dan terdedah dengan asap rokok ‘second hand’.
“Mohon suami berusaha untuk berhenti merokok untuk kebaikan diri sendiri dan orang tersayang,” pesannya.
Sehubungan perkara itu, PHM juga menyarankan perokok mengambil inisiatif mendapatkan rawatan berhenti merokok di Klinik Kesihatan dan mencuba terapi gantian nikotin.
Meninjau ruangan komen hantaran terbabit, ramai turut meluah ketidakselesaan mereka yang terpaksa menghirup asap kotor rokok malah ada juga yang dimasukkan ke hospital gara-gara terkena ‘tempias’
“Jiran saya suami isteri perokok. Hisap rokok di depan dan belakang rumah sampai asap masuk dalam rumah saya. Macam mana nak tegur sebab rumah taman hari-hari hidu asap rokok,” kata Mimi Nick.
“Aku kena pneumonia (radang paru-paru) dulu sebab asap rokok la tu. Tiga minggu dalam ICU, seminggu wad biasa. Aku memang tak merokok tapi jadi mangsa juga,” keluh Ahmad Ishak.
“Orang sekeliling yang lagi berisiko dapat penyakit dari yang hisap, bukan saja memudaratkan diri, tapi lebih memudaratkan orang yang dekat,” ujar Ida Radzi. -KOSMO! ONLINE.