fbpx

Jenazah Zulkifli dikebumi di Perak, keluarga mohon doa urusan dipermudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Zulkifli sebelum berlepas ke Alaska bagi Ekspedisi Gunung Denali baru-baru ini.

PETALING JAYA – Ahli keluarga pendaki Ekspedisi Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat, Allahyarham Zulkifli Yusof, 37, memohon doa daripada rakan serta orang ramai supaya dipermudah urusan membawa pulang jenazah ke tanah air serta dikebumikan di kampungnya di Perak.

Kelab Jelajah Alphine Malaysia (ACM) dalam kenyataan memaklumkan, buat masa ini ahli keluarga hanya menunggu perkembangan terkini daripada pihak Wisma Putra dan ACM dalam urusan membawa jenazah pulang ke tanah air.

“Pihak ACM juga menghargai jasa media Malaysia yang mengikuti perkembangan rapat tragedi kumpulan pendaki di Denali.

“Bagaimanapun, pihak ACM perlu menghormati keputusan ahli keluarga yang tidak mahu ditemu bual secara terus dengan pihak media atas faktor tertentu. Justeru, ACM mendapatkan ulasan daripada ahli keluarga Allahyarham Zulkifli,” menurut kenyataan itu hari ini.

Wakil ahli keluarga Allahyarham Zulkifli juga memaklumkan, sudah terdapat ahli keluarga yang menanti di Kuala Lumpur dan kampung di Perak untuk urusan pengebumian jenazah sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Mengulas lanjut, ACM menjelaskan, ahli keluarga allahyarham sedia maklum mengenai pemergian Zulkifli mendaki Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat selain mengetahui dan menyokong minatnya terhadap aktiviti mendaki gunung tempatan dan beraltitut tinggi.

“Zulkifli sememangnya mempunyai cita-cita untuk melengkapkan pendakian di tujuh gunung tertinggi di tujuh benua di dunia dan ahli keluarga melihat ia satu impian yang murni.

“Pihak keluarga juga sedia maklum mengenai aktiviti pendakian yang pernah dilakukan Zulkifli sebagai persedian untuk mendaki gunung yang lebih mencabar.

“Selain itu, ketika Zulkifli terkandas di kawasan berhampiran puncak Gunung Denali, allahyarham sempat menghantar isyarat kecemasan pintar kepada ahli keluarga pada 28 Mei lalu supaya pihak pengurusan ACM dapat mendapatkan bantuan terbaik dalam usaha menyelamatkan dan memberi bantuan,” katanya.

Malah, ahli keluarga juga berterima kasih kepada rakan pendaki, Muhammad Illaham Ishak, Zainudin Lot serta wakil ACM di Alaska dan pihak pengurusan ACM serta Wisma Putra yang sentiasa peka memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa mengenai allahyarham.

Dalam perkembangan lain, kelab tersebut turut menyatakan bahawa kesemua pendaki menyelesaikan misi menawan puncak gunung berkenaan.

“Mereka mengharungi cabaran salji, kabus and angin kuat sebelum berjaya menawan puncak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI