KESETIAAN penyokong negara bakal teruji memandangkan persiapan Harimau Malaya ketika ini tidak berjalan lancar ekoran masalah kecederaan dihadapi beberapa pemain harapan ketika ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully, berpendapat adalah tidak adil untuk ‘menjatuhkan hukuman’ kepada pasukan sebelum turun beraksi sebaliknya ketika inilah penyokong dapat memainkan peranan lebih besar untuk membantu Harimau Malaya.
“Saya lihat ke arah yang lebih positif dan ini peluang buat mereka yang tidak dapat bermain sebelum ini. Kita selalu harapkan pada kesebelasan terbaik, tetapi apabila jadi macam ini, pemain lain seperti Safawi pun kena tunjukkan semula apa yang dia ada.
“Dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku, jadi pemain yang ada perlu manfaatkan peluang, soal keputusan itu kemudian. Kalau ada yang kata tempang, bermakna orang yang cakap seperti itu pilih kasih kerana semua pemain dalam pasukan adalah orang Malaysia.
“Bukannya kita tidak pernah kalah ketika semua pemain terbaik ada dalam pasukan, jadi bagi saya tidak adil untuk kita kata tempang kerana yang dipanggil bukannya tidak boleh bermain.
“Semangat daripada belakang juga penting, beri peluang dulu kepada mereka yang dipanggil kerana semua itu masih lagi dalam kawalan kita. Soal keputusan nanti bukan lagi dalam kawalan kita,” katanya.
Harimau Malaya kini sedang jalani fasa akhir latihan pusat dan dijadualkan berlepas ke Bishkek, Selasa ini bagi menghadapi aksi kelima Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan, Khamis ini sebelum menutup aksi bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
Jurulatih berpengalaman, Datuk Yunus Alif turut senada dengan Scully dan beranggapan hanya Pan-gon yang lebih tahu perancangan pasukan ketika ini.
“Memanglah sebelum ini kita letak harapan kepada mereka (Arif Aiman dan Faisal Halim) dan sekarang kita perlukan pengganti pemain seperti itu. Mungkin Pan-gon lebih nampak siapa yang layak buat tugasan itu.
“Jadi, kita kena turun sebagai pasukan bukan pilihan. Buat masa sekarang kita kena ambil tahu semua perkara termasuklah soal cuaca di Kyrgyzstan,” katanya.