fbpx

Isteri hamil 9 bulan maut, suami cedera motosikal rempuh MPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Proton Exora yang dirempuh motosikal ditunggang Puteri Nur Iman dan suaminya dalam nahas di Jalan Taming Sari, Melaka semalam.

MELAKA – Seorang wanita hamil sembilan bulan maut, manakala suaminya cedera selepas motosikal yang mereka tunggang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Taming Sari, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Puteri Nur Iman Hamidun, 27, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Suaminya, Muhammad Helmi Abdul Razak, 28, mengalami luka di bahagian hidung dan bibir serta sakit di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian pasangan itu yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Pengkalan Rama menuju ke Bukit Palah.

Katanya, setiba di lokasi sebuah MPV jenis Proton Exora dipandu seorang suri rumah berusia 41 secara tiba-tiba telah keluar dari simpang Jalan Mawar dan membelok ke kanan untuk menuju ke arah Pengkalan Rama.

“Penunggang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan kanan MPV tersebut dan menyebabkan isterinya yang membonceng tercampak di atas jalan raya.

“Akibat kemalangan itu, wanita tersebut mengalami kecederaan parah di kepala, perut dan punggung,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, ibu hamil itu dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka dengan menaiki ambulans, namun dia dan bayi dalam kandungan kemudian disahkan telah meninggal dunia.

Mengulas lanjut Christopher berkata, pihak polis sedang mengesan saksi yang melihat kejadian susulan kawasan tersebut tidak mempunyai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Kita minta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama bagi proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI