LAMA tidak mendengar khabar Cliff Umar, tiba-tiba sahaja berita terbaharu mengenai juara Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) dihadapkan ke mahkamah berhubung kes dadah mengejutkan ramai.
Selepas menjuarai program realiti tersebut, kerjaya bekas vokalis Projek Pistol asal Klang, Selangor itu dikatakan pernah hilang daripada radar industri hiburan tempatan.
Kemudian tahun lalu, Cliff yang juga mesra dibahasakan Boy mendedahkan masih rancak mengendalikan karier muzik apatah lagi turut aktif bersama band Legion yang tampil dengan single berjudul Haprak.
Apabila timbul isu penyalahgunaan dadah menerusi satu pengakuan di mahkamah pada 30 Mei lalu, ramai peminatnya kecewa.
Cliff mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lepas.
Bersalah
Bapa kepada empat cahaya mata itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Dia didakwa memiliki dadah dipercayai jenis heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya pada 3.30 petang, 26 Mei lalu.
Cliff melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff merayu jaminan rendah diberikan kerana tertuduh menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Menurut peguam, penyanyi itu juga tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan laporan kimia.
Kontroversi sebelum ini hanya menjurus isu peribadi termasuk kelancangan mulutnya mempersoalkan prosedur standard operasi (SOP) ketika musim Covid-19 dan isu nafkah anak.
Netizen komen
Setakat ini, Cliff mahupun pihak terdekat tidak memberikan sebarang maklum balas berkaitan kes tersebut.
Semakan menerusi Instagramnya juga mendapati kali terakhir dia mengemas kini perkembangan kerjaya adalah pada November tahun lalu.
Ada dalam kalangan netizen meninggalkan komen dalam media sosialnya meminta dia berubah dan kembali ke pangkal jalan.
Tidak kurang yang mengecam penyanyi itu kerana sanggup menjerumuskan diri dalam kancah penyalahgunaan dadah.
“Kenapa kena terlibat dengan dadah? Semoga bertaubat,” kata netizen.
“Abang main taik dadah, keluar rumah kena ngap (tangkap),” ujar pemilik akaun laman sosial lain.
Terdahulu kerjaya Cliff dalam bidang muzik bermula sebagai penyanyi di kelab malam sebelum menyertai Projek Pistol sebagai vokalis utama.
Band projek ini turut membariskan ahli lain termasuk Edrie Hashim (gitar), Zham Badri (bes) dan Pae Nasir (dram) yang menyerlah dengan lagu Wanita Seluruh Dunia pada 2011.