LONDON – Magis pemain menjadi aset terpenting buat England untuk menyiapkan pasukan terbaik untuk merealisasikan misi besar pada kempen Euro 2024.
Selain mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan suku akhir Piala Dunia 2022, rekod penyertaan di kejohanan Eropah skuad The Three Lions agak positif ketika di bawah kendalian Gareth Southgate termasuk ketika bergelar naib juara Euro 2020.
Tonggak pertahanannya, Harry Maguire yang sering menjadi nadi pasukan mengakui yang pencapaian itu agak baik dan boleh menjadi penentu kepada nasib England kali ini.
“Bermain di kejohanan seperti ini adalah sesuatu yang berbeza dengan aksi liga. Di situlah pemain akan tampil untuk bermain dan menyerlahkan kemampuan istimewa yang mereka ada.
“Jadi, kamu hanya perlu pastikan semuanya dapat dilaksanakan dan cuba beraksi baik untuk membuka peluang bergelar juara,” katanya.
Kejayaan layak ke final Euro 2022 sudah pasti menjadi penanda aras buat England dan hanya kejuaraan mampu diidamkan ketika ini.
“Pastinya kejuaraan akan beri makna besar. Kami tidak pernah menjulang apa-apa piala dalam tempoh yang agak lama, namun kami semakin hampir.
“Sekarang kami rasakan pasukan ini berada pada tahap terbaik dan pastinya kehadiran kami nanti adalah untuk memenangi pertandingan ini,” jelasnya. – AGENSI