MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menandatangani pemain Chelsea, Trevoh Chalobah selepas kelab itu menghadapi beberapa siri kecederaan di bahagian pertahanan musim lalu.
Pemergian Raphael Varane yang mengakhiri kontrak di Old Trafford juga menyebabkan pengurus pasukan, Erik Ten Hag tidak mempunyai pilihan kecuali meletakkan pemain pertahanan sebagai antara pemain yang perlu dibeli pada jendela perpindahan kali ini.
Chalobah yang berusia 24 tahun menjadi pilihan United yang sedang dalam proses meremajakan pasukan itu, namun semua keputusan hanya akan dibuat oleh INEOS yang menjadi pemilik bersama kelab itu.
Sementara itu, Chelsea dijangka terpaksa menjual beberapa pemain musim panas ini untuk meningkatkan dana perpindahan mereka dan memenuhi Peraturan Keuntungan dan Keseimbangan (PSR) yang ditetapkan Liga Perdana Inggeris.
Chelsea dilaporkan menilai Chalobah sekitar £30 juta (RM170.4 juta) dan penjualan pemain perlu dilakukan menjelang 30 Jun selain Conor Gallagher, Ian Maatsen dan Armando Broja juga antara bintang Chelsea yang mungkin dilepaskan.
Dalam pada itu, Jarrad Branthwaite dari Everton juga berada dalam radar United musim panas ini dengan The Red Devils berusaha untuk membeli pemain pertahanan tengah tersebut dengan harga sekitar £40 juta (RM227.2 juta) di tengah-tengah masalah kewangan Everton. – AGENSI