PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menghala ke ibu negara dilaporkan perlahan susulan pertambahan kenderaan orang ramai pulang ke ibu negara selepas tamat cuti sekolah dan cuti hujung minggu.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran Facebook memuat naik beberapa gambar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berhubung situasi di lebuh raya tersebut.
“Trafik perlahan di Plaza Tol Bentong ke Lentang, Lentang ke Bukit Tinggi seterusnya Hentian Sebelah Gombak (barat) ke Plaza Tol Gombak.
“Selain itu arah timur pula, trafik perlahan di Kilometer (KM) 26.8 ke KM 28.4 di Gombak serta sebelum Plaza Tol Gombak,” menurut hantaran itu hari ini.
Cuti penggal pertama sesi 2024/2025 bagi sekolah-sekolah kumpulan A bermula 24 Mei lalu dan berakhir hari ini, manakala bagi kumpulan B bermula 25 Mei serta berakhir hari ini.
Dalam masa sama, esok merupakan cuti umum sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE