PETALING JAYA – Nama pelakon Meerqeen sekali lagi meledak dalam media sosial apabila percubaannya bertutur dalam bahasa Indonesia menerusi drama negara seberang itu disifatkan sebilangan peminat sebagai pelik dan tidak menjadi.
Memegang watak Ben, lakonan dan lontaran dialog Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen, 23, itu masih jelas ‘pekat’ slanga bahasa Melayu sekali gus kedengaran tidak natural.
Menerusi video yang tular dalam platform X, Meerqeen dilihat menjayakan babak bertengkar dengan teman wanitanya dalam naskhah tersebut berjudul Modus Operandi.
Netizen juga berpendapat reaksi finalis Hero Remaja itu kurang sesuai dengan babak berkenaan, ibaratnya serba tidak kena.
Semakan HibGlam di ruangan komen, rata-rata netizen tumpang malu dan geli hati melihat gaya percakapan Meerqeen menerusi drama berkenaan.
Pun begitu, ada juga peminat yang memujinya kerana berani menyahut cabaran dalam membawa kelainan dan berharap aktor kesayangan mereka itu dapat berlakon lebih banyak drama di Indonesia.
“Ya Allah, berdekah rasa dengar cara dia bercakap dalam bahasa Indonesia. Kenapa tak cakap bahasa Melayu saja? Geli pula dengar,” komen netizen itu.
“Cukup ketua kami malu! Pekat betul loghat Kuala Lumpur dia. Tak salah kalau dia nak cakap KL saja, artis Indonesia pun ramai cakap bahasa dia orang,” komen seorang lagi netizen.
“Pada saya ini dinamik lakonana, itu namanya dia sahut cabaran, tak salah pun yang penting dia mencuba,” kata peminat itu.
Modus Operandi dihasilkan pada tahun 2022 ketika Meerqeen meriah populariti menerusi drama Melur Untuk Firdaus. – KOSMO! ONLINE