fbpx

Bekas Datuk Bandar JB didakwa terima rasuah RM1.55 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIB (tengah) dituduh menerima rasuah diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Bekas Datuk Bandar Johor Bahru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini bagi 12 pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM1.55 juta antara 2020 hingga 2021.

Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Adib Azhari yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Johor Bahru telah menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 dari dua individu melalui seorang pengantara.

Ia sebagai upah kerana membantu mendapatkan pelbagai kerja antaranya kerja-kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrik pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, kerja ganti paip, penyelenggaraan pembentungan awam paip serta kerja mengatasi tebing runtuh.

Upah tersebut turut diperolehi kerana membantu mendapatkan kerja penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget, kerja penyelenggaraan landskap tepi jalan secara tahunan dan penyelenggaraan cantas serta tebang pokok di dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Perbuatan itu dilakukan antara 26 Jun 2020 Hingga 6 Ogos 2021 Di Jalan Serama 7, Larkin, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bekas Datuk Bandar Johor Bahru itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Pihak pendakwaan memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan tawaran jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM120,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan bayaran RM60,000 dibuat pada hari ini dan selebihnya pada Selasa disebabkan bank ditutup pada hari ini dan esok.

Adib Azhari turut diperintahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan pada minggu pertama, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI