LONDON – Polis Metropolitan London mengesahkan bahawa sebanyak 53 tangkapan dibuat semasa perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) anjuran Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) di Stadium Wembley semalam, lapor saluran berita CNN.
Lima orang telah ditahan kerana menceroboh padang, manakala sebahagian besar yang lain diberkas atas cubaan mengancam keselamatan, kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.
Pencerobohan padang berlaku pada minit pertama ketika kelab Real Madrid menentang Borussia Dortmund dalam perlawanan itu.
Rakaman kejadian menunjukkan pemain tengah Borussia Dortmund, Marcel Sabitzer membantu menghalang salah seorang penceroboh daripada berlari mengelilingi padang.
Jurucakap Stadium Wembley turut mengutuk kejadian penceroboh padang itu.
“Adalah menyalahi undang-undang untuk memasuki padang permainan di Stadium Wembley dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka yang mengganggu perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA sejurus ia bermula.
“Semua individu itu kini telah ditahan. Kami akan menyokong pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil,” tambah jurucakap Stadium Wembley dalam satu kenyatan.
Dalam perlawanan itu, Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund dengan keputusan 2-0. – AGENSI