fbpx

2 pembantu penguat kuasa Kastam didakwa ambil rasuah RM4,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Rasul (depan) dan Mohd. Faizul (belakang, tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk didakwa atas pertuduhan rasuah. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Dua pembantu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM4,300 untuk tidak memeriksa lori barangan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), empat tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Faizul Mat Nasir,34, dan Mohamad Rasul Mohd. Zukri, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mohd. Faizul didakwa dengan satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,750 pada 16 Julai 2020 manakala Mohamad Rasul didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,550 pada 8 September dan 13 September tahun yang sama.

Mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan oleh mereka di cawangan sebuah bank di sini.

Mohd. Faizul dan Mohamad Rasul didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afif Ali dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Adhwa’ Afiqah Mohd. Azmi.

Mahkamah membenarkan Mohd. Faizul diikat jamin sebanyak RM7,000 manakala Mohamad Rasul pula RM8,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Jaminan tersebut turut disertai dengan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan, mengakses komputer atau dokumen dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga kes.

Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI