PETALING JAYA – Ketidakpatuhan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi parti adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti tersebut secara serta-merta.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyataan berkata, hukuman tersebut adalah termaktub dan mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan parti tersebut.
“Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan Bersatu yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai anti lompat parti.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Khas Bersatu yang bertungkus-lumus menyempurnakan Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini secara tertib dan teliti, menepati segenap lunas undang-undang,” jelasnya.
Terdahulu, dalam kenyataan sama Muhyiddin turut menjelaskan, pada 31 Mei 2024 adalah hari terakhir untuk wakil-wakil rakyat Bersatu menyempurnakan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi.
Jelasnya, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung Bersatu dalam tempoh 14 hari. – KOSMO! ONLINE.