fbpx

Tiada visa haji sah: TH tidak akan bantu jemaah terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED Saleh (tengah)ketika sidang akhbar semalam.

MEKAH – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi peringatan tidak akan membantu sebarang pergerakan atau kemudahan penginapan terutama di Mekah bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji yang sah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan notis peringatan kepada Ketua Rombongan Haji semua negara agar tidak berbuat demikian.

Katanya, tindakan tersebut juga dibuat sebagai langkah kawalan keselamatan ketat dari kerajaan Arab Saudi bagi membendung penyalahgunaan visa semasa musim haji.

“Malah, kami turut diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada individu yang melanggar peraturan haji.

“Penekanan daripada pihak kerajaan Arab Saudi kepada pejabat semua Ketua Rombongan Haji itu belum pernah dibuat sebelum ini dengan peringatan begitu khusus.Turut diberi peringatan sekiranya notis baharu itu tidak dipatuhi, ia akan memberi kesan terhadap operasi haji sesebuah negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji semalam..

Beliau berkata, notis tersebut itu merupakan mesej jelas dan perlu dilihat sebagai sesuatu yang serius dalam isu membabitkan haji dari semua negara.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, operasi telah mula dilaksanakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sejak dua minggu lalu dengan tangkapan dilakukan terhadap mereka yang tiada visa atau permit haji yang sah.

“Kenderaan turut diperiksa termasuk bas yang dinaiki jemaah untuk pastikan hanya mereka yang punyai visa sah sahaja masuk ke Mekah.

“Malah orang tempatan atau mereka yang bekerja di Mekah juga perlu mempunyai permit sah untuk masuk ke sini, “katanya.

Tambah Syed Saleh, pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan di hotel-hotel penginapan dan laluan masjid serta tempat-tempat tertentu bagi mengesan jemaah yang tiada visa haji yang sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI