fbpx

Sanad tertinggi al-Quran ada di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Rifae’i (tengah) bersama dua rakannya menunjukkan trofi dan sijil yang dimenanginya pada Selasa lalu ketika ditemui di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Johan Hafazan (kategori 1-30 juzuk) dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Muhammad Rifae’i Mat Zuki,18, hanya mengambil masa selama 13 bulan untuk menghafal al-Quran dengan syahadah ketika berusia 14 tahun.

Muhammad Rifae’i yang juga merupakan pelajar Akademi Darul Ilmi (ADI), Sungai Layar Hujung, dekat sini, memperoleh markah cemerlang iaitu seba­nyak 98.71 peratus dalam pertandingan itu sekali gus me­layakkannya untuk memenangi kategori tersebut.

Menurutnya, dia mula belajar membaca al-Quran sejak berusia lima tahun melalui pendedahan di rumah oleh kedua ibu bapa­nya.

Katanya, sejak itu timbul minat yang mendalam untuk mendalami ilmu dalam bidang al-Quran dan hadis malah anak bongsu dari empat beradik itu juga turut mempelajari cara membaca al-Quran melalui video-video bacaan al-Quran oleh qari tersohor dunia, Syeikh Misyari Rasyid Al Afasy di YouTube.

“Minat untuk mendalami ilmu al-Quran dan hadis telah mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran ke ADI ketika berusia 13 tahun sehingga kini sudah memasuki tahun keenam dan berbaki lagi enam tahun untuk saya menamatkan pelajaran di sini (ADI).

“Alhamdulillah, berkat doa dan galakkan daripada ibu bapa dan guru-guru di sini saya berjaya menghafal al-Quran dengan syahadah ketika berusia 14 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muhammad Rifae’i berkata, dia kini dalam proses membuat persiapan untuk mewakili negara ke pertandingan hafazan peringkat antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

“Apabila berjaya ke peringkat antarabangsa, saya bercita-cita untuk berjumpa dengan Ulama Syria yang juga pemegang sa­nad al-Quran tertinggi di dunia, Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih.

“Saya berhasrat untuk membaca al-Quran di depan beliau untuk ambil ‘ijazah’ dan sanad daripada beliau,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Akademi Darul Ilmi, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, kejayaan Muhammad Rifae’i adalah satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh warga Akademi Darul Ilmi.

Terdahulu, Muhammad Rifae’i dinobatkan Johan Hafazan 2024 di Pahang pada Selasa lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI