PETALING JAYA – Pelakon Nas-T mengharapkan penonton tidak skeptikal terhadap kredibiliti lakonannya membawakan watak adiwira Melayu ikonik, Keluang Man.
Kata Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 40, perkara itu sudah dijangkakan berlaku ketika hadir ke sesi uji bakat filem tersebut.
“Saya tahu perkara sebegini akan berlaku masa pergi casting (uji bakat). Saya tahu orang sudah menggambarkan siapa yang akan membawa watak itu.
“Tetapi, saya mohon penonton jangan terlalu cepat menilai dan membuat andaian. Beri peluang dahulu, kemudian baru buat penilaian,” katanya kepada Kosmo! Online.
Nas-T turut memberitahu peluang terlibat dalam pembikinan filem adaptasi daripada animasi ikonik tersebut merupakan satu tanggungjawab besar yang tidak akan disia-siakan.
“Apabila membawakan watak ini, saya dapat merasakan bahawa ini satu tanggungjawab besar kepada penonton.
“Saya akan buat yang terbaik versi saya sendiri. Sama juga seperti cef yang memasak, rasa dulu masakan tersebut baru buat penilaian. Sama juga seperti saya, ‘rasa’ dulu baru tahu lakonan saya okey atau tidak,” katanya.
Masih dalam pembikinan, filem terbitan Pasal Productions itu mendapat sentuhan Anwari Ashraf sebagai pengarah.
Selain Nas-T, filem adiwira tersebut turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Remy Ishak, Shweta Sekhon dan Anwaar Beg Moghal. – KOSMO! ONLINE