MELAKA – Sebatang pokok di Jalan Bukit Senjuang di Banda Hilir di sini tumbang dan menghempap sebuah Proton Saga serta tiang elektrik, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, seorang penunggang motosikal berusia 40-an turut dilaporkan cedera selepas terkena kabel tiang elektrik yang jatuh ke jalan raya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu, Penguasa Bomba Kanan II Hazalani Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 petang tadi.
Katanya, sepasukan enam anggota termasuk sebuah jentera dan pegawai perubatan hospital telah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di sana kita dapati sebatang pokok sena telah tumbang merintangi jalan raya dan menghempap tiang elektrik serta sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Dalam kejadian itu pemandu kereta bagaimanapun terselamat, namun seorang penunggang motosikal cedera selepas terkena kabel tiang elektrik terbabit,” katanya.
Katanya, mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan dan pasukan melaksanakan operasi memotong dan mengalihkan pokok.
Terdahulu, satu rakaman papan pemuka tular di media sosial memaparkan kejadian pokok sena tersebut yang tiba-tiba tumbang dipercayai akibat cuaca ribut di kawasan itu petang tadi. – KOSMO! ONLINE