GUA MUSANG – Harga durian musang king dijangka melonjak apabila hasil pengeluaran durian di setiap lokasi penanaman seluruh negara didapati berkurangan berpunca daripada keadaan cuaca panas serta taburan hujan yang tidak menentu.
Pekebun durian musang king, Tina Chong, 45, berkata, hasil pengeluaran duriannya merosot 70 peratus berikutan cuaca panas yang melanda negara.
Katanya, perubahan cuaca menyebabkan sebahagian daripada 1,000 batang pokok durian seperti musang king dan duri hitam gugur sebelum ranum selain bunga durian juga menjadi kering.
“Cuaca panas yang melanda Gua Musang dianggarkan 35 sehingga 38 darjah celcius menyebabkan hasil durian termasuk musang king dan duri hitam yang diusahakan oleh saya dapat dijual kira-kira 30 peratus sahaja tahun ini.
“Saya jangka dapat menjual durian musang king pada harga yang agak tinggi berikutan pengeluaran buah kurang,” katanya ketika ditemui pemberita di kebun duriannya di Taman Rusa di sini semalam.
Tina memberitahu, anggaran kos penyelenggaraan di kebun duriannya seluas lebih 9 hektar adalah RM400,000 setahun termasuk kos baja dan pekerja.
Katanya, dia mendapat keuntungan hasil jualan duriannya sebanyak RM200,000 pada tahun lalu.
“Sekiranya cuaca baik, sebatang pokok durian yang ditanam boleh menghasilkan 300 hingga 400 biji durian. Pada tahun ini, jumlah itu tidak boleh dicapai bagi setiap batang pokok.
“Fenomena cuaca panas bermula sejak bulan Februari lalu sehingga kini. Dalam tempoh dua minggu lalu, saya dapati cuaca panas ekstrem sehingga menyebabkan banyak bunga dan buah durian gugur sebelum waktunya,” katanya.
Tambah Tina, dia dapat menjual musang king mengikut gred antara harga RM35 sehingga RM80 sekilogram pada tahun lalu.
“Saya jangka durian musang king gred A tahun ini melebihi RM80 sekilogram.
“Saya juga tidak dapat eksport durian musang king ke negara China dan Singapura kerana kurang buah,”
ujarnya.