BANGKOK – Seorang lelaki cedera parah ketika cuba meleraikan dua ekor lembu jantan yang bergaduh apabila seekor lembu berkenaan menyerangnya, lapor portal berita Pattaya Mail hari ini.
Anggota-anggota pasukan penyelamat menemui Sakchai Jancharoen, 56, terbaring di hadapan kandang lembu dan mengalami kecederaan serius kelmarin.
Saksi-saksi berkata, pergaduhan antara dua lembu jantan itu bertukar ganas dengan cepat.
Percubaan Sakchai untuk memisahkan kedua-duanya menyebabkan seekor lembu jantan itu menjadi agresif.
Lembu itu ‘melemparkannya’ ke dinding, menyebabkan dia tercampak ke dalam kandang lembu bersebelahan.
Pasukan penyelamat menghadapi cabaran besar ketika berusaha untuk mengeluarkan Sakchai dari kawasan itu.
Lembu jantan yang naik minyak tetap gelisah dan berada dalam jarak yang dekat sekali gus menimbulkan ancaman berterusan.
Ketika anggota-anggota penyelamat menghampiri Sakchai, lembu jantan itu menyerang. Mereka terpaksa melarikan diri buat sementara waktu.
Selepas berkumpul semula dan menyusun strategi dengan teliti, pasukan penyelamat dapat mengeluarkan Sakchai dan membawanya ke sebuah hospital untuk menerima rawatan. – AGENSI