KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengabaikan kebajikan murid tahun lima yang diserang strok haba selepas dipaksa berdiri di bawah sinaran matahari.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kebajikan murid terbabit itu akan menjadi keutamaan pihak kementeriannya.
“Dia memang sudah pun berada dalam kebajikan kita. Maknanya anak murid ini adalah murid KPM yang kita akan beri perhatian dan maknanya kita akan pastikan kebajikannya terjaga,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Digital Utilisation and TechnologyAwards (DUTA) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Mydigitalmaker Fair (MDMF) di Pusat Sains Negara di sini hari ini.
Semalam, KPM berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kanak-kanak berkenaan diserang strok haba selepas dipaksa seorang guru berdiri di bawah sinaran matahari.
Fadhlina dilaporkan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan salah laku yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.
Terdahulu, pada Rabu lalu media melaporkna seorang murid darjah lima yang mengalami strok haba didakwa kesan daripada denda berjemur di padang sebuah sekolah di Ampang, akan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU).
Pihak Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai OKU susulan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Difahamkan kanak-kanak itu berdepan masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba dialaminya.
Ibu mangsa dilaporkan berkata anaknya akan dihantar ke sekolah khas selepas ini. – KOSMO! ONLINE.