SINGAPURA – Keselamatan dan keamanan di wilayah Indo-Pasifik kekal menjadi prinsip dalam Dasar Keselamatan Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menegaskan bahawa wilayah Indo-Pasifik sentiasa menjadi strategik utama di bawah pentadbiran Presiden, Joe Biden.
“Saya ingin tegaskan bahawa keamanan AS boleh dicapai hanya jika Asia selamat.
“Itu sebabnya AS mengekalkan kehadiran di rantau ini dan membuat pelaburan yang diperlukan untuk memenuhi komitmen kepada rakan sekutu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pleno pertama Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 yang bertajuk ‘Perkongsian Strategik AS di Indo-Pasifik’, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lloyd mengakui tindakan Washington membantu Ukraine terhadap pencerobohan Russia serta memberi sokongan kepada Israel dalam konflik di Gaza, Palestin mengalihkan tumpuan daripada wilayah Indo-Pasifik.
“Biarpun terdapat krisis yang berlaku di Eropah dan Timur Tengah, Indo-Pasifik kekal sebagai keutamaan AS.
“AS sedang berusaha mengukuhkan pakatan dan perkongsian di rantau Asia-Pasifik khususnya bersama Filipina untuk memastikan hak mereka dilindungi,” ujarnya.
Untuk rekod, SLD24 merupakan persidangan berprestij menyaksikan menteri pertahanan dari seluruh dunia berhimpun untuk membincangkan cabaran keselamatan utama yang dihadapi hari ini.
Mengulas pertanyaan mengenai ketegangan hubungan antara AS dan China, Lloyd memberitahu bahawa hubungan kedua-dua negara itu adalah berdasarkan persaingan.
“Bagaimanapun, kita tidak ingin ada hubungan yang tidak sihat dan kita perlu jelas mengenai apa yang diingini oleh kedua-dua negara selain melihat isu-isu yang membimbangkan.
“Seperti semalam, saya dan (Menteri Pertahanan China, Dong Jun), kami boleh berbincang untuk menyelesaikan beberapa pertikaian. Jadi, kerjasama ini akan diteruskan,” jelasnya.
Sebelum ini, Lloyd mengadakan pertemuan bersemuka bersama Dong sempena SLD24 bagi mencari kata sepakat terhadap pertikaian berhubung isu Taiwan.
Dalam pertemuan itu, Lloyd menyatakan kebimbangan AS mengenai aktiviti ketenteraan China di sekitar Selat Taiwan dan menegaskan bahawa republik itu tidak sepatutnya menggunakan peralihan politik Taiwan untuk melakukan provokasi.
Bagaimanapun, Don tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan menyifatkan campur tangan AS ke atas Taiwan melanggar prinsip ‘satu China’. – KOSMO! ONLINE