fbpx

Jawatankuasa Protem ditubuh, terajui penubuhan Mahkamah Timbang Tara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Protem ditubuhkan bagi menerajui penubuhan Mahkamah Timbang Tara, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memberitahu, jawatankuasa berkenaan akan membuat penelitian mekanisme, protokol dan rangka kerja pengoperasian Mahkamah Timbang Tara AIAC ini secara efektif kelak.

Katanya, ia turut berperanan untuk menerapkan elemen ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran Mahkamah Timbang Tara AIAC sebagai badan pembuat keputusan kes-kes yang dirujuk ke AIAC.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan AIAC.

“Jawatankuasa Protem ini terdiri daripada seorang Pengerusi dan Ahli-Ahli jawatankuasa yang berpengalaman luas, berkredibiliti dan terkemuka dalam bidang perundangan dan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, penubuhan Jawatankuasa Protem ini diyakini dapat menyumbang secara konstruktif kepada penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC itu.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan meminda undang-undang yang relevan termasuk Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] yang sedang dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

“Pelaksanaan inistiatif-inisiatif baharu ini dihasratkan dapat memperkukuh kedudukan AIAC sebagai institusi timbang tara antarabangsa yang bebas di bawah naungan Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO).

“Ia sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai pilihan utama tempat penyelesaian timbang tara (preferred seat of arbitration) dan ADR secara keseluruhan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Jawatankuasa Protem itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan 16 ahli yang lain daripada pakar-pakar dalam negara dan peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI