PETALING JAYA – Tiga cedera manakala enam lagi dilaporkan selamat dalam satu kejadian kebakaran papan tanda iklan (billboard) yang terletak di tepi Lebuh Raya Persekutuan, selepas susur keluar Jalan Gasing, di sini, tengah hari tadi.
Kesemua mangsa merupakan warga Indonesia yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di bahagian atas dan bawah papan iklan tersebut.
Berdasarkan makluman awal anggota bomba di lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa mengalami cedera ringan akibat kebakaran tersebut telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Bagaimanapun, cubaan Kosmo! mendapatkan mangsa-mangsa berkenaan di lobi pekarangan Bahagian Trauma dan Kecemasan PPUM gagal apabila dihalang oleh pihak majikan mereka.
Menurut tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian pula, usai kebakaran di bahagian atas papan iklan berjaya dikawal, pihak bomba kemudiannya memadamkan api pada punca kuasa yang terletak di bawah pada pukul 2.50 petang.
Kemudian, kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 3.30 petang sebelum kerja-kerja pembersihan dan pembukaan lorong dilakukan.
Kebakaran yang dianggarkan bermula kira-kira pukul 1.25 tengah hari tadi telah menyebabkan kesesakan teruk dari Pusat Bandaraya ke arah Petaling Jaya ekoran dua lorong terhalang bagi memberi laluan kepada jentera bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api.
Terdahulu, tular di beberapa platform media sosial video-video memaparkan kebakaran yang menghasilkan asap hitam tebal berkepul-kepul dari papan iklan tersebut.
Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE