fbpx

TMJ arah siasatan menyeluruh kes pengawal peribadi tumbuk pemandu Grab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU MAHKOTA ISMAIL.

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tidak menyokong sebarang perbuatan atau tindakan mengugut yang menyalahi undang-undang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu, baginda bertitah agar pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring baginda yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.

“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di Hotel St Regis Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua pihak menghormati siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda lagi.

Terdahulu, seorang pemandu Grab yang berusia 46 tahun membuat laporan polis mendakwa ditumbuk di bahagian kepala oleh pengiring seorang kenamaan ketika berada di Hotel St Regis Kuala Lumpur.

Difahamkan, pengadu telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami ‘soft tissue injury’.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik serta pengadu tidak mahu memanjangkan kes. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI