PETALING JAYA – Selain daripada tidak niat korban, menyembelih lembu yang bersaiz kecil atau kurus kering juga boleh membuatkan ibadah korban yang dilakukan pada bulan Zulhijjah tidak sah.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, lebih afdal untuk melakukan ibadah korban adalah menyembelih lembu yang gemuk dan sihat.
Jelas beliau lagi, terdapat empat peringkat hukum haiwan peliharaan yang ingin dijadikan sebagai ibadah korban iaitu, afdal bagi haiwan yang gemuk, harus bagi haiwan yang bertubuh sedang elok, makruh bagi haiwan kurus dan tidak sah bagi haiwan yang kurus kering.
“Empat kategori ini adalah sunnah nabi, jika lembu itu kita lihat kurus namun masih boleh dijadikan sebagai ibadah korban hukumnya makruh.
“Tapi jika lembu itu kurus kering, lalu motosikal dekat tepi dia pun boleh jatuh maka hukum menyembelih haiwan tersebut adalah tidak sah,” jelasnya dalam satu sesi soal jawab agama baru-baru ini.
Tambah Azhar, situasi tersebut memang terjadi ketika ini kerana ramai dalam kalangan pemilik lembu yang hanya fikirkan keuntungan semata-mata jika dibandingkan pahala melakukan ibadah korban.
“Tiba saja musim korban, harga lembu biasanya RM2,500 boleh naik kepada RM5,000. Itu memang perangai orang kita, dah dikira macam berniaga pula pada musim ini.
“Jangan disebabkan kita yang ingin keuntungan sehingga menyusahkan orang ramai, berdosa besar. Jangan main-main dengan hukum ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.