KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai beberapa rakyat Malaysia dikatakan terkandas di Mekah selepas didakwa ditipu oleh agensi pelancongan yang berjanji untuk mendapatkan visa mengerjakan haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya difahamkan status mangsa yang terkandas masih sama dan mereka belum membuat sebarang aduan bagu meminta bantuan untuk dibawa pulang ke tanah air.
“Kita mengharapkan mereka (yang terkandas) membuat aduan kepada kakitangan TH yang berada di tanah suci.
“Setakat laporan yang diterima daripada Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh, belum ada secara rasmi mereka menghubungi untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pavilion Al-Falah dan pelancaran buku baharu terbitan agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan terdapat beberapa jemaah haji Malaysia terkandas di Mekah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.
Sehubungan itu, Mohd. Naim menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan helah agensi pelancongan yang kononnya mampu menyediakan visa haji.
“Visa haji hanya dikeluarkan oleh TH dan kedutaan Arab Saudi yang disebut sebagai visa mujamalah dan furada.
“Kepada mereka yang ingin menunaikan haji, teruskan berhubung dengan pihak TH supaya tidak ditipu oleh agensi tidak bertanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE