PETALING JAYA – TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan Untung Sebelum Cukai lebih tinggi sebanyak 42.5 peratus atau RM27.7 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat daripada RM19.4 juta yang dilaporkan dalam suku yang sama berakhir 31 Mac tahun lalu.
THP dalam satu kenyataan berkata, pendapatan untuk suku pertama juga meningkat sebanyak 7.5 peratus kepada RM157.3 juta, berbanding RM146.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu disebabkan oleh peningkatan volum jualan produk sawit.
“Keuntungan yang lebih baik dalam suku pertama turut disumbangkan oleh pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (MSM) yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Pengeluaran BTS dan MSM Kumpulan untuk suku pertama masing-masing meningkat sebanyak 14.8 peratus dan 8.1 peratus. Kumpulan juga mencatatkan Untung Sebelum Cukai yang lebih tinggi sebanyak 10.8 peratus berbanding suku keempat TK2023 disumbangkan terutamanya oleh pengurangan perbelanjaan-perbelanjaan lain,” jelasnya.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif THP Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, peningkatan pengeluaran dalam suku pertama TK2024 berbanding suku pertama TK2023 telah membantu meningkatkan pendapatan walaupun harga produk sawit lebih rendah.
“Keputusan yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa Rancangan Strategik lima tahun Kumpulan atau Al Falah 22/22, sedang menuju ke arah yang betul dalam memperbaiki kecekapan operasi dan memupuk pertumbuhan yang mampan.
“Berdasarkan keputusan yang menggalakkan ini, Kumpulan akan terus memperkukuh inisiatif-inisiatif Al-Falah dengan memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos yang berkesan, amalan agronomi yang baik, pemulihan, penanaman semula, dan program mekanisasi untuk mencapai prestasi yang lebih baik,” katanya.
Jelasnya, sekiranya tidak terdapat sebarang keadaan luar jangkaan, Kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2024 dan optimis terhadap keupayaan strategi dan inisiatif semasa untuk menangani isu dan cabaran semasa. – KOSMO! ONLINE