KAJANG – Sektor koperasi boleh memainkan peranan utamanya dalam membangunkan ekonomi Islam dengan menawarkan lebih banyak instrumen bagi memberi manfaat kepada masyarakat selain sektor institusi kewangan dan juga perbankan.
Pengarah Seminar Kebangsaan Figh Muamalat dan Kewangan Islam (SKFMKI 2024), Ainual Azhar Jasmi berkata, peranan koperasi boleh diperkasa melalui penawaran pelbagai instrumen kewangan Islam bagi memastikan ia kekal berdaya maju dan berdaya tahan dalam bidang ini.
“Daripada satu perspektif lain, institusi koperasi boleh menarik masyarakat yang tidak mempunyai akses perbankan untuk membawa mereka ke dalam aliran ekonomi melalui penawaran instrumen islam yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentang resolusi daripada seminar sehari anjuran Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) dan Persatuan Ulama Malaysia serta Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) di sini baru-baru ini.
Seminar yang bertemakan Kelestarian Kewangan dan Kesejahteraan Ekonomi Ummah itu telah mendapat sambutan baik daripada pelajar, pendidik dan juga golongan profesional.
Selain itu, dalam sidang akhbar yang diadakan selepas program itu, Ainual menerangkan, usaha mengembangkan peranan koperasi sebagai medan perkongsian maklumat dalam kalangan ahli serta membina rangkaian dengan pengusaha yang memiliki pelbagai latar belakang dan cabang perniagaan dari dalam atau di luar negara perlu dilakukan.
“Ramai yang belum arif tentang peranan koperasi itu sendiri tetapi ia adalah salah satu cabang utama untuk membantu menguruskan kewangan sekali gus menambah perkembangan ekonomi semasa.
“Kita lebih tertarik kepada sistem kewangan konvensional tetapi sebenarnya kewangan Islam itu sendiri meliputi pelbagai aspek dalam memperkasakan ekonomi,” ujarnya.
Tambah beliau, terdapat lebih daripada 15,000 koperasi di negara ini dengan memiliki lebih tujuh juta ahli dan bagi KMMB sendiri, ia kini memiliki kira-kira 40,000 ahli dengan penceburan dalam bidang perladangan kelapa sawit dan juga sektor perumahan. -KOSMO! ONLINE