ATHENS – Olympiacos muncul pasukan pertama dari Greece berjaya menjulang kejuaraan di pentas Eropah selepas meraih trofi Liga Konferens Europa selepas menundukkan Fiorentina 1-0 pada aksi final di Stadium Agia Sophia awal pagi semalam.
Aksi final tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berintensiti tinggi dan fizikal, namun kedua-dua pasukan gagal mempamerkan kualiti terbaik di hadapan pintu gol sebelum Ayoub El Kaabi muncul wira Olympiacos.
Perlawanan tersebut terpaksa diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam tempoh 90 minit perlawanan sebelum El Kaabi meledak gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-116.
Ketika perlawanan itu hampir berakhir dengan penentuan penalti, El Kaabi berjaya menanduk masuk hantaran lintang Santiago Hezze, namun Olympiacos terpaksa menangguhkan sementara keraian gol itu ekoran pengadil terpaksa memeriksa Video Bantuan Pengadil selepas pemain itu didakwa berada pada kedudukan ofsaid sebelum gol itu disahkan.
Ia merupakan gol ke-11 El Kaabi pada saingan Liga Konferens Europa musim ini dan semuanya berjaya dihasilkan selepas Olympiacos lolos ke pusingan kalah mati, malah lima daripadanya dihasilkan ketika dua aksi menentang Aston Villa di separuh akhir.
Kemenangan itu juga cukup istimewa buat pengendali Olympiacos, Jose Luis Mendilibar yang dianggap sebagai pakar perlawanan akhir selepas membantu Sevilla meraih kejuaraan Liga Europa musim lalu selepas hanya mengemudi pasukan itu pada Januari lalu.
“Saya sangat gembira apabila kami berjaya melakukan pencapaian hebat ini yang belum pernah dinikmati kelab ini. Kami akan meraikan kejayaan ini sebelum kembali memberi fokus untuk aksi musim depan,” katanya.
Sebelum kejayaan dikecapi Olympiacos, tidak ada mana-mana kelab dari Greece yang berjaya meraih kejayaan di pentas Eropah kecuali ketika Panathinaikos berjaya mara ke pentas final Piala Eropah pada 1971, namun tewas kepada Ajax Amsterdam.
Bekas pemain Fiorentina, Stevan Jovetic yang beraksi bersama Olympiacos awal musim ini mengakui simpati dengan nasib yang dihadapi bekas pasukannya itu yang tewas dua kali berturut-turut di pentas final kejohanan yang sama.
“Ia suatu yang menakjubkan buat Olympiacos dan saya. Kami berjaya mengharungi musim dengan baik dan layak menikmati kejayaan ini. Namun, saya simpati dengan nasib yang dihadapi Fiorentina,” katanya yang pernah beraksi dengan pasukan itu di Itali selama lima musim. – AGENSI