fbpx

Malaysia cadang FPDA tingkat latihan ancaman bukan tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled pada sidang akhbar selepas mesyuarat FDMM FPDA ke-12 di Conrad Singapore Orchard, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

SINGAPURA – Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12 mempersetujui untuk meningkatkan latihan ketenteraan di tahap tertinggi bagi menangani ancaman bukan tradisional.

Cadangan tersebut dibawa oleh delegasi Malaysia dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen di Hotel Conrad Singapore Orchard, di sini hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu melibatkan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins dan Ketua Delegasi United Kingdom, Paul Wyatt.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia memberi penekanan kepada soal ancaman bukan tradisional berikutan perubahan dan cabaran baharu yang dihadapi negara serantau.

Katanya, selain menangani ancaman bukan tradisional seperti ‘counter terrorism’ (pengganas) dan serangan siber, Malaysia juga menekankan aspek kemanusiaan dan bantuan bencana.

“Hari ini kita lihat dunia berubah dengan kemajuan teknologi dan sudah tentunya setiap negara ingin memberi tumpuan dalam meningkatkan keupayaan berhadapan isu ini.

“Selain daripada memantapkan kerjasama dan latihan konvesional, FPDA perlu mengambil kira soal ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.

Mohamed Khaled berkata, ancaman sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana peperangan ketika ini bukan sahaja bersifat tradisional, malah boleh berlaku dalam lapangan yang tidak konvensional.

“Apabila kita berbincang hari ini, mesyuarat setuju bahawa ini adalah bidang yang sangat penting untuk diterokai.

“Maka, kaedah dalam penubuhan FPDA ialah jawatankuasa peringkat pegawai mengambil maklum keputusan ini dan kemukakan kajian serta cadangan untuk melaksanakannya,” jelasnya.

Justeru, Mohamed Khaled berkata, Malaysia akan terus memberi komitmen untuk memastikan FPDA kekal dan menjadi sebahagian dasar pertahanan negara.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu turut menegaskan bahawa Malaysia terbuka untuk mana-mana negara ASEAN menjadi pemerhati dalam kerjasama tersebut.

“Seperti kita sedia maklum, rantau ini satu kawasan yang sangat mencabar dan kita percaya kerjasama melalui FPDA ini sedikit sebanyak boleh mengimbangi cabaran yang ada,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI