fbpx

Kisah sakit misteri Ustaz Kazim difilemkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Zim Zim Ala Kazim bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 13 Jun ini.

SIAPA tidak mengenali pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias yang merupakan penceramah yang sering menghiasi skrin televisyen dengan ilmu dakwahnya.

Namun, siapa sangka kehidupannya berubah sekelip mata apabila diserang penyakit misteri kira-kira empat tahun lalu.

Semuanya didedahkan apabila jelas perubahan fizikal pada wajah terutamanya bahagian mata dan bibir.

Penyakit misteri dihidapinya menyentuh perasaan penyanyi Mawi untuk mengangkat kisah Ustaz Kazim ke layar perak.

Menerusi syarikat produksi Mawi World Entertainment, naskhah diberi judul Zim Zim Ala Kazim bakal direalisasikan dengan suntikan elemen mistik.

“Ini adalah satu kisah mistik dan sebenarnya apa yang dilalui Ustaz Kazim itu, saya juga pernah hadapi situasi yang lebih kurang sama dengannya.

“Kalau diikutkan tidak sukar untuk meyakinkan dia. Dalam perjumpaan kali kedua, dia ceritakan lebih mendalam. Pada pertemuan ketiga pula, saya bawa penulis skrip untuk berada bersama kami.

“Berkenaan dengan jalan cerita pula, kira-kira 70 hingga 80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik,” katanya.

Ustaz Kazim hero

Selaku penerbit dan pengarah, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 42, mendapat kebenaran Ustaz Kazim untuk penghasilan filem itu selepas beberapa pertemuan.

Bagaimanapun, Mawi mendedahkan bahawa pendakwah bebas itu telah menetapkan syarat sebelum menjalani penggambaran.

“Syarat paling utama yang dikenakan ialah Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi hero.

“Pada awalnya, saya sudah ada pilihan sendiri untuk pegang watak dia. Namun, dia sendiri mahu lakonkan watak dirinya.

“Memang agak terkejut juga tetapi saya kagum dengan keberanian dia untuk berlakon dalam filem ini,” ujarnya lagi

Gangguan mistik

Meskipun penyakit misteri Ustaz Kazim sudah pulih pada 2022, Mawi mengakui berlakunya gangguan terhadap lelaki itu semasa menjalani penggambaran.

Pembikinan filem berlangsung sekitar dua tahun lalu selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim sendiri di Kampung Manjoi, Perak.

“Ada satu masa ketika ingin memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula.

“Sehinggakan kulit dia ada keluar darah. Apa-apa pun situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik,” jelasnya.

Berkisarkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal, filem kedua arahan Mawi itu turut dibintangi Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.

Filem Zim Zim Ala Kazim terbitan World Entertainment bakal menemui penonton pada 13 Jun 2024.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI