SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman percaya badan induk bola sepak negara itu sudah boleh ‘tutup buku hitam’ apabila disahkan bebas daripada sebarang ketirisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebagai rekod, FAM berdepan kontroversi hebat susulan penularan surat layang pada April lepas sehingga disiasat SPRM melibatkan kes projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan penyalahgunaan dana bagi penganjuran Kongres FAM sebelum ini.
Kata Noor Azman, tohmahan yang dilemparkan ke atas badan induk bola sepak negara itu boleh dilupakan sepenuhnya apabila Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan kes dianggap sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Perkara ini (isu surat layang) memang membebankan kita kerana tiada apa yang boleh kita buat sepanjang tempoh hampir dua bulan itu. Keputusan (SPRM) itu melegakan kita apabila dimaklumkan kes telah diklasifikasi sebagai NFA.
“Justeru, kita bersyukur kerana segala apa yang kita buat memang diiktiraf dari segi urus tadbir dan kita ikut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya ketika ditemui.
Mengulas lanjut, Noor Azman percaya sekarang adalah masa untuk FAM terus pandang ke depan dengan menjayakan perancangan yang telah diatur untuk memajukan bola sepak tempatan.
“Kalau boleh kita enggan toleh ke belakang sebab banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Kita ada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bulan depan dan selepas itu fokus pada skuad Bawah 17 tahun (B-17) dan skuad Bawah 20 tahun (B-20).
“Skuad kebangsaan pun kena bersedia untu harungi Piala AFF 2024 nanti selain saingan Liga Malaysia juga baru bermula dan kalau boleh kita mahu maju ke depan,” katanya.