IPOH – Empat lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dua lelaki dalam kejadian di Desa Pakatan, Ahad lalu.
N. Devid, 25; K. Navin, 22, bersama Musraf Mustafa, 22, dan adiknya, Muhamad Yasir, 21, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada J. Navin Kumar, 27, di sebuah rumah di Persiaran Pengkalan Timur 11, Desa Pakatan, Ipoh pada pukul 1.30 pagi, 26 Mei 2024.
Pada prosiding sama, Devid, Musraf dan Muhamad Yasir juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adik Navin Kumar iaitu Dheeva Balan, 21, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. M. Moganaraj Mithra mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam, G. Harbhajan Singh yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan minimum.
Majistret Farah Nabihah Muhamad kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,300 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan. Mahkamah juga menetapkan 14 Jun depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret S. Punita, Navin mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan kepada Dheeva Balan dengan menggunakan sebilah parang.
Lelaki yang bekerja di premis cucian kereta itu juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Navin Kumar dengan mengancam akan membunuh dan membakar mangsa serta rumahnya. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, K. Nahtan diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 16 Julai depan.
Dalam pada itu, di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus, Musraf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 18 tahun di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 23 Julai 2024. – KOSMO! ONLINE