PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengagihkan e-baucar bagi pembelian buku berjumlah RM100 secara berperingkat di mana ia akan dimulakan bermula esok.
KPT dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar pengajian tinggi warganegara Malaysia yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2024.
“Bagi fasa pertama, penyaluran akan dilaksanakan melalui kaedah e-baucar dan KPT akan menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024)
“Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT– Graduate Reference Hub for Employment and Training (kendalian KPT) iaitu https://great.mohe.gov.my, bermula 1 Jun 2024 pukul 10 pagi,” katanya sebentar tadi.
KPT berkata, penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara atas talian di platform BookCapital, https: bookcapital.com.my sahaja.
“Jadi, setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi sahaja.
“Baki baucar buku selebihnya akan disalurkan pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak,” katanya.
Pada masa sama, katanya, KPT menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar terlibat.
“Pengumuman tersebut adalah satu langkah yang tepat dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat membugar budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar IPT,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE