PETALING JAYA – Enggan membiarkan hal dalam kain disensaikan, penyanyi Hafiz Suip menempelak seorang pengguna laman sosial yang didakwa sengaja mencetuskan spekulasi liar.
Hafiz atau nama lengkapnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 34, berkata, individu terbabit seolah-olah mengenalinya hingga sanggup mendakwa perkahwinannya goyah.
“Korang tak kenal aku jadi jangan sembang macam korang kenal aku sangat.
“Ini siaran langsung aku suka hati aku la nak cakap apa. Kalau tak suka jangan tengok live aku, jangan ‘follow’ aku,” katanya dalam video di TikTok.
Bapa kepada dua anak itu turut mengingatkan netizen agar jangan suka menyibuk hal rumah tangga mahupun peribadi orang lain.
Malah, dalam video sama dia turut menzahirkan rasa lucu dengan gosip terbaharu kononnya hubungan dengan isteri, Nureffy Jasreel berantakan gara-gara sikapnya yang tidak bertanggungjawab.
“Aku ada baca satu komen, dia kata ‘dia (Nureffy) bercerai sebab suami abaikan dia’. Aku rasa kelakar komen itu.
“Kau nak cerita apa sebenarnya kak? Kau nak cerita aib kau, tak payah. Orang tak nak tahu. Sibuk nak jadi cikgu nak ajar orang,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan Hafiz memuat naik gambar anak-anaknya dengan menzahirkan kerinduan terhadap mereka meraih perhatian netizen.
Tanda pagar yang digunakan penyanyi tersebut iaitu #TerusBersinar #JanganMainApi mengundang tanda tanya.
Ramai yang saling berbalas teka-teki mengenai tanda pagar tersebut dan mengaitkannya dengan situasi rumah tangga juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu.
Terdahulu, Hafiz dikatakan menghilangkan diri susulan tindakan menyahaktif atau ‘deactived’ akaun Instagram miliknya.
Sekali gus, situasi terbabit seakan memberi petanda rumah tangganya dengan isteri sedang dilanda masalah. – KOSMO! ONLINE