PETALING JAYA – Bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Wong Yan Ke gagal dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan mengingkari arahan pegawai polis yang dihadapinya empat tahun lalu.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Yan Ke selaku pemohon selain telah meneliti afidavit, hujahan bertulis dan lisan pihak pendakwaan serta pembelaan bekas aktivis pelajar universiti itu.
Justeru dengan keputusan itu, mahkamah menetapkan 26 dan 27 Jun ini untuk kes itu diteruskan dengan perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri, manakala Yan Ke diwakili peguam, Shashi Devan.
Sebelum ini, pihak peguam berhujah menyifatkan pertuduhan yang didakwa ke atas pemohon sebagai tiada asas.
Ini kerana pertuduhan itu bukan kecacatan bersifat teknikal seperti masa, tempat kesalahan atau nama orang, sebaliknya ia adalah substantif.
Pada 13 November 2020, Yan Ke, 28, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.
Mengikut pertuduhan, Yan Ke didakwa mengingkari perintah Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di sini pada 7 November tahun sama.
Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan Yan Ke ditahan ketika polis menyerbu kediaman Presiden UMANY, Yap Wen Qing, untuk siasatan berhubung kes kenyataan kontroversi terhadap peranan Yang di-Pertuan Agong. – KOSMO! ONLINE