KOTA KINABALU – Kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah hari ini dapat menyatukan semula pemimpin PKR Sabah yang sebelum ini terbahagi dua berikutan kemelut kepemimpinan yang tercetus pada Mac lalu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Anwar yang juga Presiden PKR akan memberi amanat susulan pelantikannya sebagai Pengerusi MPN Sabah baharu.
“Presiden PKR tiba di Sabah malam tadi untuk menyempurnakan majlis penutupan Pesta Kaamatan di Penampang hari ini dijadual menemui pemimpin PKR negeri pada pagi ini.
“Kita akan mulakan mesyuarat MPN bersama presiden.
“Saya fikir beliau akan memberi amanat kepada kami untuk mendepani cabaran Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti,” katanya ditemui setibanya dari Kuala Lumpur di Tanjung Aru, malam tadi. – KOSMO! ONLINE