PETALING JAYA – Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2023 mendedahkan median upah bulanan pekerja formal tempatan pada Disember lalu adalah sebanyak RM2,900 sebulan.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, upah itu melibatkan seramai 6.67 juta orang terbahagi 55.5 peratus adalah pekerja lelaki, manakala 44.5 peratus golongan wanita.
Katanya, pekerja lelaki menerima median upah bulan sebanyak RM2,945 dan bagi wanita pula RM2,845.
“Kumpulan umur yang menerima median upah bulanan tertinggi adalah mereka yang berusia 45 hingga 49 tahun iaitu RM3,927 pada Disember 2023.
“Kumpulan umur ini juga menerima median upah bulanan tertinggi pada Oktober 2023 (RM3,500) dan November 2023 (RM3,500),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kumpulan umur 60 hingga 64 tahun mengalami peningkatan upah tahun ke tahun yang tertinggi iaitu 7.4 peratus kepada RM2,900 pada Disember 2023.
Sementara itu, median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia di bawah umur 20 tahun ialah RM1,500 pada Disember, kekal tidak berubah selama 19 bulan berturut-turut.
Mengenai situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, Mohd. Uzir menjelaskan, pada ST4 2023 semua sektor merekodkan peningkatan tahun ke tahun berhubung median upah bulanan.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian menerima median upah bulanan tertinggi iaitu RM6,844 walaupun hanya mewakili 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal.
Jelasnya, median upah bulanan menunjukkan peningkatan positif tahun ke tahun bagi semua negeri pada tiga bulan terakhir 2023.
Tambah Mohd. Uzir, tiga negeri yang mencatatkan median upah bulanan lebih tinggi berbanding median upah bulanan nasional RM2,900 ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,045) diikuti Pulau Pinang (RM3,245) dan Selangor (RM3,164).
“Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,700 dan RM1,882,” katanya. – KOSMO! ONLINE