SANDAKAN – Seramai 417 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal dari Pelabuhan Sandakan kelmarin.
Dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semua PATI berkenaan adalah tahanan di Depot Sandakan.
PATI dari negara Filipina terbabit merupakan kumpulan kedua dihantar pulang selepas seramai 232 PATI warga Indonesia pada Ahad minggu lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penghantaran pulang itu melibatkan seramai 349 lelaki dan 41 wanita.
“Selain itu, JIM turut menghantar pulang 27 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Ini adalah program pemindahan siri 9 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia.
“Semua PATI berusia lingkungan satu bulan hingga 66 tahun dan kanak-kanak yang terbabit untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu atau bapa atau penjaga masing-masing.
“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media. – KOSMO! ONLINE