fbpx

Tiga kastam didakwa kes rasuah lepaskan lori barang di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUALA LUMPUR - Tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tiga anggota kastam yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM17,500 bagi  melepaskan lori tanpa pemeriksaan.

Shaharudin Suboh, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin atas 22 pertuduhan, Alizan Wahid, 43, yang berdepan empat tuduhan dan Ismail Idris, 49, yang menghadapi enam pertuudhan membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan 22 pertuduhan, Shaharudin didakwa memperoleh suapan RM13,600 daripada pemilik syarikat barangan import dan logistik.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebagai pembantu Kastam Gred WK22 memperoleh wang itu melalui pemindahan dalam talian.

Ia sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori milik syarikat itu yang membawa keluar barang dari kargo KLIA, yang mana kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Cawangan Bukit Damansara di sini, pada 30 Ogos 2017 dan 11 Julai 2023.

Alizan pula berdepan empat pertuduhan iaitu sebagai Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 didakwa memperoleh suapan RM17,500 daripada individu sama dan untuk tujuan serupa,

Sementara itu, Ismail didakwa atas enam pertuduhan iaitu sebagai Pembantu Penguasa Kastam Gred WK22 didakwa memperoleh suapan RM5,200 daripada individu sama dan untuk tujuan serupa.

Suzana membenarkan Shaharudin dan Alizan masing-masing diikat jamin RM15,000 berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Azura yang menetapkan sebutan kes Ismail pada 2 Julai dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan syarat tambahan yang sama.

Setakat ini, seramai 16 anggota JKDM yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI