KUALA LUMPUR – Golongan pekerja disarankan untuk membuat semakan bayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) agar tidak ditipu oleh majikan.
Pengarah Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman berkata, semakan boleh dibuat di mana-mana pejabat Perkeso dalam memastikan majikan telah membayar caruman dan tidak lari dari tanggungjawab sosial mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan majikan agar segera mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Perkeso selewat-lewatnya esok.
Katanya, sekiranya majikan gagal berbuat demikian, bermula 1 Jun ini mereka bakal berdepan dengan tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
“Sekiranya majikan tidak mendaftar dalam tempoh pemutihan, Perkeso tidak akan berkompromi lagi. Selain itu, tiada juga lanjutan tempoh setelah ia tamat pada 31 Mei ini,” katanya kepada Kosmo!.
Terdahulu, Mohamad Asri menyerahkan sumbangan faedah pencen ilat kepada bekas Pengurus Besar SN Legacy Sdn. Bhd.milik Datuk Seri Siti Nurhaliza, Khairul Azmir Abdul Hamid, 58, yang mengalami strok akibat penyakit buah pinggang kronik dihadapinya sejak Februari lalu.
Khairul Azmir merupakan seorang pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 (Akta 4) dengan rekod caruman sebanyak 272 bulan.
Beliau juga layak mendapat Faedah Pencen Ilat berjumlah RM3027.92 sebulan dan kemudahan dialisis bernilai RM150 untuk setiap sesi rawatan menerusi Skim Keilatan bawah Akta 4. – KOSMO! ONLINE