HULU TERENGGANU – Seorang suri rumah menggalas tanggungjawab berat menjaga ibu mentuanya, Rasidah Tahir, 60, yang terlantar akibat penyakit strok sejak empat tahun lalu.
Shahiyana Md. Salleh, 34, berkata, sejak diserang penyakit itu, ibu mentuanya hanya terbaring atas katil dan memerlukan penjagaan rapi.
Rasidah yang turut menghidap diabetes memakai lampin pakai buang dan meminum susu khas yang perlu diberikan menerusi tiub setiap empat jam.
“Ibu mentua juga perlu diberikan suntikan insulin empat kali sehari. Sebelum ini, ibu mentua pernah diserang strok kali pertama pada tahun 2000 yang menyebabkan anggota badan sebelah kanan lemah.
“Serangan strok kali kedua berlaku pada 2020. Sejak itu tahap kesihatan ibu mentua makin kronik, dia terlantar sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bukit Ara di sini baru-baru ini.
Selain ibu mentua, Shahiyana turut menjaga dua anak berusia tujuh bulan dan tiga tahun ketika suaminya, Rashidi Sha’ari, 39, keluar bekerja di kilang kayu.
Jelasnya, dia dan suaminya memerlukan lebih RM1,000 sebulan bagi membeli susu, lampin dan jarum suntikan insulin.
Sementara itu, Rashidi berkata, dia dan isterinya akan menjaga ibunya selagi hayat dikandung badan. Anak sulung daripada lima beradik itu bersyukur menerima bantuan susu khas dan lampin pakai buang daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
“Kami juga mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, adik-beradik juga ada membantu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional atas Rashidi bernombor 11500-41-00001712-1 atau menghubunginya di talian 011- 55513679.