fbpx

PPZ-MAIWP lancar kitab fiqh zakat terjemahan Bahasa Melayu pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika melancarkan Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi terjemahan Bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

Naskhah yang dihasilkan hasil kerjasama dengan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu merupakan terjemahan pertama kitab tersebut dalam Bahasa Melayu.

PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan berkata, pertemuan bersama Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi telah dilakukan pada tahun 2019 untuk mendapatkan persetujuan rasmi dari Maktab Al-Qaradawi berkenaan penterjemahan kitab berkenaan.

“Adikarya ini terlebih dahulu telah diterjemahkan ke Bahasa Indonesia diketuai oleh Profesor Dr. K.H Didin Hafidhuddin dan sekumpulan penterjemah.

“Bagaimanapun, kesan peredaran zaman dan terutamanya perbezaan penggunaan istilah, maka wujud keperluan mendesak agar kitab ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu,” jelasnya.

Umumnya, kitab tersebut membincangkan isu-isu berkaitan zakat secara komprehensif sama ada dari aspek teori mahupun persoalan kontemporari.

Tambah PPZ-MAIWP, terjemahan tersebut juga sangat penting kerana Kitab Fiqh Zakat karya Agung Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi merupakan rujukan utama dalam aspek hukum dan pengoperasian zakat.

Menurutnya, pengisian kitab itu juga menjadi rujukan bagi penambahbaikan dan kemajuan bagi institusi-institusi zakat di Malaysia.

Majlis peluncuran naskhah tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia, Sahibus Samahah Syeikh Dr. Ali Muhyiddin Ali
Al-Qaradaghi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli
Hasan; Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI